Pecarian Belum Selesai
Norlia Abdullah, majidin wassilin, norliha Mohd Noor,Beechee Hamisah, Asnian Ayub Daud, Mahiran Mohd, Zuraidah, norwati hussin, Latifah Diasin,Rahana Ismail, Hamizan Shaffain, Rokian Che Mamat, Rasimah Abd Momen, dan Fadzilah Mohamad
Sesiapa yang ada contact dengan penama di atas tolong maklumkan kepada blogmaster- TQ
Komuniti Seluruh Warga M3P di Facebook
Yak Bok TanJeti kayu dan kehidupan di Pulau Redang tidak dapat dipisahkan umpama irama dan lagu. Jeti-jeti dibuat pada akhir tahun 1970an seiring dengan perpindahan penduduk yang sebelumnya di pulau Pinang kira-kira satu kilometer dari Pulau Redang. Pada asalnya tiang jeti empat persegi, tetapi kebanyakannya telah ditukar dengan tiang bulat daripada kayu bakau apabila tiang asalnya reput. lantai pula kebanyakannya adalah papan 1 inci X enam inci yang disusun di atas penyangga tiang tadi. Jeti ini digunakan oleh pejalan kaki, penunggang basikal dan jarang-jarang penunggang motorsikal. Ada sesetengah tempat , jeti ini bergoyang-goyang bila kita melaluinya.
Ketika hujan pula jeti ini sangat licin, pejalan kaki akan jatuh tersungkur atau terjelepuk jika tidak berhati-hati melaluinya. kadangkala di atas jeti ini terdapat pula longgokan tahi kucing yang selalu terpijak kerana warnanya dengan warna lantai jeti tidak banyak bezanya.
Pada suatu petanng ahli jemaah masjid termasuk kami guru-guru yang datang bersolat Asar dijemput untuk bertahlil di rumah penduduk kampung Pulau Redang. Seperti biasa kami akan pergi secara berderet dan beriringan dalam kumpulan tujuh hingga sepuluh orang. Selesai tahlil dan jamuan kami keluar daripada rumah itu secara beriringan sepertimana waktu kami datang tadi. Sewaktu perjalanan pulang Seorang sahabatku telah terpijak lantai yang hujungnya telah reput dan tidak kena pada penyangga menyebabkan lantai itu terjungkit ke atas hampir menghempap kepala. Sebelah kaki lagi telah terperosok ke celah lantai yang tercabut tadi bersama sebahagian kain pelikatnya. Serentak itu seorang pakcik yang bersama kami berteriak "
Yak Bok Tan" . Kami membantu menarik sahabat tadi. Apabila kembali ke rumah guru sahabat yang terpelosok tadi yang berasal dari Johor bertanya apakah erti " Yak Bok Tan " itu beberapa kali. Aku cuba menjelaskan bahawa itu adalah kata-kata spontan seperti "Masya Allah " dan sebagainya, pada hal aku pun tak tahu dengan tepatnya apakah ertinya " Yak Bok Tan " itu. ( To be continue...)
Anak-anak Redang. Nun sayup-sayup di tengah lautan terdapat sebuah kehidupan, kehidupan yang mempunyai mimpi yang indah tapi entah bila menjadi kenyataan. Sebagai insan-insan kerdil yang lahir di kawasan yang sedikit terasing dari arus pembangunan perdana anak-anak Redang juga ingin mengorak langkah seiring dengan rakan-rakan lain yang berada di tanah besar. Cuma persekitaran mereka sedikit sebanyak menjadi batu penghalang juga.
Dunia mereka selain dipisahkan dengan Laut Cina Selatan dengan orang lain mereka di sempitkan lagi dengan rumah-rumah yang kecil di atas air.Kita dapat bayangkan betapa sukarnya mereka hidup dengan rumah yang mempunyai dua bilik berbanding adik beradik yang biasanya ramai. Dan halaman rumah mereka ialah jeti berukuran lapan kaki lebar. Mereka tidak kisah samada memakai selipar atau tidak kerana sememangnya kehidupan mereka di atas rumah atau di atas jeti papan. Setiap kali apabila turun ke jeti kecuali selepas 12.00 malam pasti akan berjumpa dengan anak murid dengan aktiviti mereka, bermain, bersembang, memancing, menangis dan sebagainya. Begitu juga ada sesetengahnya tidak berapa suka memakai baju.
Cara mereka dididik juga agak "kasar dan rakus". Kita sering mendengar anak-anak ini disumpah seranah oleh ibu atau bapa mereka. Ingin dijelaskan di sini bahawa apa yang dicatat di sini adalah sebahagian bukan keseluruhannya. Suasana pendidikan di rumah yang sebegini sebenarnya memberi ruang dan peluang kepada guru-guru untuk mendekati murid-murid di sini. Murid-murid di sini menjadi cepat mesra dengan guru-guru dan ada juga yang menjadikan guru tempat bermanja. Terdapat guru-guru yang selalu membawa pulang muridnya ke tanah besar apabila pulang bercuti termasuklah aku.
Apabila memasuki sekolah menengah mereka terpaksa keluar dari pulau ini dan tinggal di asrama. Mereka akan menghadapi dunia baru dengan persekitaran yang agak berbeza. Ramai di kalangan murid-murid Pulau Redang tidak mampu menghadapi situasi ini menyebabkan mereka berhenti sekolah lebih awal. Biasanya bermula daripada awal tingkatan satu hinggalah sampai tingkatan tiga mereka akan berhenti sekolah. Kadang-kadang kita tidak menjangka seorang murid yang begitu pintar sewaktu di sekolah rendah Pulau Redang berhenti juga sebelum mengambil peperiksaan PMR. Mereka berhenti sekolah secara sukarela atau diberhentikan sebab masalah disiplin.
Segelintir yang meneruskan persekolah di peringkat sekolah menengah pula mampu menapak lebih jauh seiring denga pelajar-pelajar lain. Kini ada di kalangan mereka yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara termasuk ke USA dan ada juga yang berjaya menjawat jawatan awam seperti guru, jururawat, polis dan sebagainya. Ada juga bekas anak murid yang dulunya nampak begitu dhaif dan kerdil tetapi sekarang berjaya menjadi ahli perniagaan dan bertapak di Kuala Lumpur. Baru-baru ini aku mendapat berit seorang murid bekas muridku berkahwin dengan anak seorang pelakon dan mendapat liputan di akhbar tempatan. ( To be continue )
Mengajar Pagi, Petang dan Malam Sebagai seorang "ustaz" aku mengajar mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan. Namun begitu pelajaran dan penghayatan mngenai solat amat ditekankan. Apabila aku masuk kelas untuk mata pelajaran Pendidikan Islam, aku akan meminta murid-murid membaca bacaan dalam solat bermula dari niat sehinggalah memberi salam dan disambung lagi dengan bacaan doa qunut. Selepas itu barulah pelajaran mengikut sukatan pelajaran bermula.
Selepas mengajar selama sebulan aku diminta mengajar Kelas Agama Faedhu Ain yang dianjurkan oleh yayasan Islam Terengganu pada waktu petang. Jadi aku satu-satunya guru di Pulau Redang yang mendapat dua gaji pagi dan petang. Kalau tak silap aku gaji sebelah petang iala RM 24.00 sehari atau purata RM 240.00 sebulan mengikut jam mengajar. Kelas KAFA cuma pada petang Ahad, Isnin dan Selasa, manakala petang Rabu diadakan aktiviti ko-kurikulum. Ko kurikulum sekolah ini juga boleh dikatakan agak aktif. Oleh kerana suasana rumah mereka yang agak padat dan bersesak-sesak, sekolah merupakan tempat tumpuan kanak-kanak bermain. Walaupun aktiviti ko kurikulum tidak diadakan kanak-kanak pulau Redang tetap juga datang ke sekolah.
Pada sebelah malam dua kali seminggu pula aku mengajar fardhu ain di masjid Pulau Redang.Sepertimana biasa cuma orang orang tua sahaja yang ada. Hubungan kami dengan ahli jemaah masjid memang sangat rapat, ada beberapa orang Pulau Redang yang aku dah jemput untuk datang dan tidur di rumah aku. hubungan ini berterusan sampai sekarang.
Kadangkala di sebelah malam, hari Jumaat dan Sabtu juga kami mengadakan kelas tambahan secara sukarela. Kelas tambahan ini melibatkan semua tahun. Walaupun tidak mendapat apa-apa imbuhan dan ganjaran kami guru-guru Pulau Redang berasa senang hati dapat menabur bakti di sini.
Kesimpulan yang dapat dibuat ialah sewaktu mengajar di Pulau Redang kebanyakan masa dihabiskan dengan mengajar pagi, petang dan juga malam. ( to be continue ...)
Suasana di Pulau Redang.Pulau Redang terletak 47 km ke Utara Kuala Terengganu.Tanah daratan yang paling dekat ialah Kampung Merang yang terletak 15 km dengan Pulau Redang.Pada masa itu kebanyakan penduduk di Pulau Redang bekerja sebagai nelayan. Sebahagian kecil lagi bekerja sebagai buruh di sektor pelancongan atau buruh padang golf. Kaum wanita pula kebanyakannya tidak bekerja kecuali ada seorang dua yang berniaga secara kecil-kecilan. Kebanyakan pendudukan di sini juga mempunyai bilangan anak yang ramai. Pernah ada dalam setiap Tahun seorang anak dari satu keluarga dari Tahun Satu hingga Tahun Enam.
Rumah-rumah penduduk di sini dibina di atas air secara tersusun di kawasan yang dikenali dengan nama Teluk Siang atau juga di sebut Kuala Redang.Rumah rumah ini dibina oleh pihak kerajaan. Fenomena ini menjadikan Pulau Redang satu kawasan penempatan yang unik. Bila kita berada di atas jeti kayu perkampungan nelayan ini kita akan dapat menyaksikan pelbagai jenis ikan berenang-renang di bawahnya. anak-anak murid mengail ikan dari jeti depan rumah mereka. Keadaan rumah mereka yang agak rapat juga menjadikan mereka lebih akrab.
Bila kita melalui jeti di sini sepanjang masa kita akan mendengar suara riuh gurauan dan tangisan kanak-kanak, suara nyanyian dan siulan dan kalau bernasib baik kita akan dapat menonton drama swasta percuma, suami mengejar isteri mereka atau isteri mengejar suami ataupun mendengar mereka sedang bertengkar.
Kalau nasib baik lagi kita dapat melihat atau menjeling orang-orang mandi berkembam. Kita juga dapat melihat bahan buangan perkumuhan manusia terapung apung dipermukaan air sambil dihurungi oleh ikan-ikan, sebab itulah penduduk di sini tidak memakan berapa jenis ikan. Pemandangan pampers kanak-kanak dan pampers kaum hawa terapung sememangnya perkara lumrah.
Pada sebelah petang di sudut-sudut tertentu jeti pula ada perkumpulan penduduk yang duduk dan bersembang-sembang sesama mereka. Kadang-kadang mereka bermain daun terup atau dam aji.
Hampir setiap lorong di sini terdapat kedai-kedai kecil yang menjual barang runcit. Harga barangan di sini agak mahal sedikit tetapi boleh lagi di terima kerana kos pengangkutan agak mahal. (to be continue...)
GURU YANG GARANG. Pada peringkat awal mengajar aku boleh dikatakan sedikit agresif , kerap menghukum murid-murid, sekeh kepala dan merotan tapak tangan bila tidak buat kerja sekolah, bising atau tak dapat menjawab soalan. Di samping sifat "monggoh" juga tidak lokek memberi pujian dan "pitih" 10 sen, 20 sen, 50 sen atau seringgit bila dapat jawam soalan , atau kadang-kadang aku beli gula-gula sehingga satu tabung. Murid-murid sekolah ini akan mencari kita sampai di dalam rumah jika kita tidak masuk kelas.
Sikap aku yang agresif tadi disedari oleh guru besar tetapi bukan aku seorang sahaja , ada lagi beberapa orang guru lain yang lebih agresif. Suatu hari aku dan beberapa orang lain dipanggil oleh guru besar. Mula-mula sekali kami dipuji melambung di atas kesungguhan mengajar murid-murid sekolah kebangsaan pulau redang. Beliau memaklumkan guru-guru di sini perlu melipatgandakan usaha mereka kerana murid-murid disini semata-mata bergantung kepada guru untuk mengajar mereka. Selepas pelbagai pujian dan dorongan disampaikan barulah dia memaklumkan , untuk mencapai objektif janganlah kita terlalu menghukum murid-murid. Lalu diceritakan bagaimana kisah guru-guru terdahulu dipukul atau diugut oleh pulau Redang kerana memukul anak mereka. Barulah kami tersedar maksud guru besar tersebut memanggil kami. Cara guru besar menyampaikan mesejnya begitu profesional sekali menyebatkan kami berasa kagum. Selepas itu kami tidak lagi menghukum murid-murid Pulau Redang. Sikit-sikit adalah.
Fizikal Sekolah. Sekolah kebangsaan Pulau Redang mempunyai dua blok bangunan kayu yang bersambung dan satu lagi blok bangunan batu iaitu bangunan kilat. Sebuah kantin , dua buah rumah guru empat pintu dan sebuah bangunan seperti bangsal yang dijadikan stor. Bangunan kayu ini menempatkan bilik guru besar berkeluasan 10' x 12, pejabat 10' x 12' PSS 10' X 24' , 2 unit tandas dan kelas-kelas pembelajaran. Di sini tidak ada bilik guru yang khusus. Cikgu-cikgu mencari sediri sudut mana yang boleh dijadikan bilik guru kerapkali rumah penginapan kami jadi bilik guru, boleh tidur dan pesan kepada murid-murid , panggil cikgu biloa sampai masa. Kelas pemulihan diadakan di rumah guru yang paling hampir sekali dengan sekolah. Guru yang mengajar pemulihan tak perlu pergi ke sekolah . Panggil je murid-murid pemulihan ke rumah cikgu dan ajar dalam ruang tamu. Pelajaran pendidikan jasmani diadakan di antara dua bangunan kayu itu yang merupakan gelanggang serbaguna, boleh jadi gelanggang bola jaring, badminton, takraw, bola tampar dan tempat perhimpunan. Bekalan elektrik cuma ada dari tujuh malam hingga tujuh pagi sahaja, kalau nak tengok TVP memang susahlah tetapi ada juga guru-guru yang menggunakan radio, "pakai ubat lampu". Biasanya aku gunakan radio untuk ajar murid-murid lagu nasyid....(to be continue)
Suasana Kehidupan di Pulau Redang 94/94. Hari hari seterusnya kami guru-guru baru belajar menyesuaikan diri dengan sekolah dan masyarakat Pulau Redang.Kehidupan seharian cuma berkisar di sekitar sekolah, masjid dan deretan rumah penduduk yang dibina secara berbaris baris di atas air. Untuk makan dan minum kami wujudkan satu tabung dan adakan giliran untuk memasak sesuai dengan jadual waktu mengajar. Janji bila balik sekolah hidangan siap. Begitu juga pada waktu malam. Kadang-kadang kami makan di kantin sahaja, suruh pekerja kantin masak. Ada juga 'wartawan' hari tu yang datang sekali sekala membantu taukeh kantin, rupanya anak beranak dia. Kami guru-guru SK Pulau Redang akan makan bersama-sama. Hubungan kami sangat akrab macam adik beradik. Tiga rumah kongsi satu dapur termasuklah guru besar.
Pada bulan Ogos hingga Februari bekalan ikan banyak di Pulau Redang, harga pun murah. Biasa juga penduduk Pulau Redang hantar ikan kepada kami. Kadang-kadang sampai berbesen-besen. Tak habis makan kami goreng celup tepung kemudian ajak anak murid makan beramai-ramai. Ada juga penduduk Pulau Redang yang hantar kerepok lekor yang dibuat secara tradisional, siang secara manual, tumbuk dalam lesung kayu, gentel, rebus atas dapur kayu. Bila dihantar kepada kami, kami tibai je lah , tak ada lagi pantang dan larang.
Pada bulan Mac hingga Julai ikan susah sikit nak dapat, nelayan tak ramai turun ke laut pada masa ini. Biasanya pada musim sebegini kami dan penduduk Pulau Redang akan makan nasi berlaukkan sardin dan telur.Jarang-jarang sekali apabila ada bot yang 'masuk' dan 'tubik' semula membawa pulang ayam dan daging , dapatlah raya lauk yang istimewa sikit , itupun terpaksa membeli secara berebut dengan orang kampung..... ( to be continue )
Aku Menjadi Imam Masjid.Ketika hari-hari awal di Pulau Redang , aku dan ahli jemaah masjid Pulau Redang telah dijemput untuk bertahlil di rumah seorang penduduk Pulau Redang.Setelah selesai sembahyang asar pergilah kami secara berkumpulan ke rumah berkenaan. Dalam perjalanan imam masjid bertanya siapakah dikalangan kami seramai lima orang ini yang menjadi ustaz. Maka kawan-kawan aku menunding jari ke arah aku lah, aku pula secara selamba tunjukkan ke arah pakya (rakan kita) , lepas itu imam itu menyatakan bahawa pada hari jumaat nanti dia hendak ustaz membaca khutbah jumaat. Selepas peristiwa itu aku,pakya dan imam itu sendiri bergilir-gilir menjadi imam solat biasa dan solat jumaat di pulau redang, termasuk lah solat tarawikh selama dua tahun aku bertugas di pulau redang. Pada sebelah malam pula aku dan pak ya baca juga kitab-kitab fardhu ain. Secara peribadi boleh dikatakan orang-orang pulau redang yang dewasa dan tua sangat respek dengan ustaz tetapi golongan muda agak kurang sedikit tetapi bukan kesemuanya. Berita apa yang berlaku kepada aku dan pakya ini sampai khabarnya kepada Hj.khairuddin pensyarah maktab kita. Bila aku jumpa di daratan dia mengucapkan syabas kepada aku dan Pakya.....(to be continue)
Wartawan.Setelah beberapa hari aku tinggal dan menghuni Pulau Redang sebagai seorang che'gu / ustaz , pada suatu petang aku menyangkul rumput di belakang rumah. Tempatnya agak tersorok kerana dibelakang rumah tempat aku tinggal merupakan bukit yang agak curam dan berbatu. Di situ juga terdapat sebatang pokok mempelam atau dikenali dengan nama pauh peda ayam. Kalau musim buah selalu nya kera -kera liar bergayutan untuk makan buah mempelam tersebut. Sedang asyik menyangkul rumput tiba-tiba aku dikejutkan dengan satu kilatan cahaya. Dalam keadaan terkejut aku melihat seorang gadis terpacak di depan dengan memegang kamera. Aku panik dan tidak mampu untuk berkata apa-apa , mungkin takut atau gelabah..... "buat kenangan" itu lah apa yang aku ingat apa yang dikatakan oleh gadis itu, kemudian dia pun menghilangkan diri..... (to be continue )
Aku Seorang Ustaz. Hari pertama sebagai seorang ustaz banyak dihabiskan dengan berkenalan dengan murid-murid serta mentelaah sukatan pelajaran. Aku belajar menulis lesson note dengan guru-guru yang lebih senior. Apabila pulang dari sekolah makanan tengahari siap terhidang. Rupanya guru yang habis kelas awal balik dahulu untuk memasak. sebenarnya mereka bukan sahaja balik memasak tetapi siap ke kedai berhampiran untuk membeli lauk mentah dan keperluan lain. Kebiasaannya kami pulang sekolah sebaik sahaja masuk saja waktu zohor, murid-murid tahap 2 akan di kerah ke masjid yang kebetulan berdekatan dengan sekolah.
Pada waktu asar petang itu aku dan kawan-kawan ke masjid dalam keadaan hujan renyai-renyai. Selepas sahaja solat aku diajak dengan bersungguh-sungguh oleh seorang tok bilal untuk berpayung dengannya. Walau pun rumah aku sebelah masjid sahaja tetapi aku mengikut tok bilal tadi menyusuri jalan yang sedikit jauh menyusuri pagar sekolah. Dalam perjalanan tersebut tok bilal tadi memegang (memimpin) tangan aku dengan begitu mesra sekali. Banyak perkara yang diceritakan terutama kisah anak dan cucunya. Sewaktu aku berpisah denganya di pintu pagar utama sekolah yang setentang dengan rumahnya aku melihat dia masih lagi memandang ke arah aku. Selepas itu aku tidak lagi berjumpa dengan beliau di masjid dan ada jemaah mengatakan beliau demam. Pada pagi ahad dua hari selepas peristiwa itu aku menerima berita yang beliau telah kembali buat selamanya. Sesungguhnya pemergian beliau membuat aku sedikit terasa dan terkejut maklumlah baru nak ber mesra dah pergi buat selamanya ... (to be continue)
Hari Pertama Sebagai Guru.Rabu 3 Disember 1992, Hari ini secara rasminya, sebelum menjadi guru yang berlesen aku pernah menjadi guru ganti di SMKA Tok Jiring pada tahun 1990 di samping latihan ROS serta PRAKTIKUM sewaktu di MPPP. Sewaktu PRAKTIKUM lah aku bertemu jodoh dengan isteriku sekarang sehingga beranak pinak sehingga enam orang. Pada pagi yang bersejarah itu satu mesyuarat ringkas diadakan sekali lagi. Taklimat disampaikan oleh guru besar, manakala GPK 1, cikgu Joni mengedarkan jadual waktu dan perlantikan sebagai guru kelas. Aku terkejut apabila aku ditugaskan mengajar subjek pendidikan Islam tahap 2 sepenuh masa.So...secara automatik aku dah mendapat tittle "ustaz". Itulah gelaran aku sehingga hari ini jika di Pulau Redang. Orang kampung aku kejap-kejap panggil aku ustaz kejap-kejap panggil aku cikgu, hemtam sahajalah asal bahagia. Tapi bila aku bertugas di BTPN Trg semua pegawai panggil aku ustaz.
Ada cerita menarik juga sebelum itu menyebabkan aku dilantik sebagai ustaz. Hampir penghujung penggal akhir persekolahan 1992 terdapat seorang ustaz sejati yang mengajar di SK Pulau Redang tetapi beliau tidak mahu datang lagi ke Pulau Redang. Seperti yang diceritakan ustaz tersebut telah berselisih faham dengan salah seorang Pulau Redang menyebabkan berlaku pergaduhan. So tanggung jawab itu diserahkan kepada aku.....( to be continue )
Rumah GuruAku ditempatkan bersama empat rakan yang lain termaksuk Pak Ya di rumah guru yang paling hujung pagar, berdekatan dengan pintu pagar kecil. Rumah aku juga merupakan yang paling hampir dengan klinik dan masjid. Rumah itu mempunyai dua buah bilik tidur, ruang tamu, bilik air serta sebuah ruang dapur tetapi yang telah dijadikan stor merangkap ampaian musim hujan. Didalam setiap bilik tidur terdapat satu katil kelamin. Oleh kerana aku ditempatkan bertiga dalam satu bilik aku tidur di bilik tamu sahaja kadang-kadang aku hampar tikar , kadang kadang aku tidur atas kerusi panjang sahaja sepanjang dua tahun. Beg pakaian disimpan di dalam bilik. Dalam setiap bilik ada almari kayu dan dipintu almari kayu ada beberapa "mural" dan catatan yang ditinggalkan oleh abang-abang terdahulu antara yang menarik apa yang dicatatkan seingat aku kalau tak silap ialah Jangan kacau anak dara orang pulau redang, Jangan ajak Orang Pulau redang Masuk ke rumah, Kalau orang Pulau beri makanan bermasak jangan makan, jangan beri pinjam duit kepada orang pulau redang, jangan terima jemputan seorang diri ke rumah orang pulau redang. Hampir ke semua pantang larang tersebut aku langgar. Elektrik menggunakan generator 12 jam sahaja dari 7.00 mlm hinga tujuh pagi. bekalan air paip pula disalurkan dari bukit. Kerap kali terkeluar anak-anak ikan atau anak-anak udang dari paip air. Pernah satu ketika musim hujan ikan keli yang besar-besar memenuhi longkang rumah tempat aku tinggal. Aku campakkan sisa makanan dan ikan kering untuk melihat ikan-ikan itu berebut mendapatkan makanan...... (to be continue )
Menjejakkan Kaki Ke Sekolah Kebangsaan Pulau Redang. Ketibaan kami di jeti disambut oleh ramai penduduk kampung Pulau redang, bagaikan satu pesta. Sebenarnya mereka berkumpul di jeti bukanlah bertujuan menyambut kedatangan kami guru-guru. Mereke menunggu ahli keluarga mereka yang telah lama berkampung di Kuala Besut kerana terkandas bot. Mereka membantu keluarga mereka mengangkat dan mengangkut barang-barang ke rumah masing-masing. Kami guru-guru di sambut oleh Cikgu Joni dan Pak Yusof pengawai keselamatan SK Pulau Redang.Sekarang Cikgu Joni menjadi Guru Besar SK Batu Rakit. Barang-barang kami dan barang-barang sekolah di angkut oleh murid-murid SK Pulau Redang dengan menggunakan troli.Jarak antara sekolah dengan jeti lebih kurang 300 meter. Setibanya di sekolah kami di agihkan kepada tiga kumpulan untuk menghuni tiga buah rumah guru. Pada masa itu terdapat dua buah rumah guru berkembar, jadi kesemuanya terdapat empat pintu rumah guru. Satu pintu dihuni oleh Cikgu joni dan keluarganya manakala tiga yang lain dihuni oleh cikgu bujang termasuk guru besar. Walaupun guru sudah berkahwin aku gelarkan "bujang" kerana kalau ada isteripun di tinggalkan di tanah besar. bangunan yang ada bdi daratan hanyalah sekolah, klinik, masjid, tabika dan rumah untuk generator elektrik ( gen set ). rumah-rumah penduduk pula dibina secara tersusun di atas air.
Pada sebelah malam selepas solat isyak satu mesyuarat ringkas diadakan di sekolah.Dari situlah aku mendapat tahu bahawasepanjang ketiadaan kami sekolah dikawal oleh tiga orang guru iaitu cikgu Joni, Cikgu Yim dan Cikgu Zakiah. Kesemua guru tersebut ialah anak jati Pulau Redang. Cikgu Zakiah dan Cikgu Yim merupakan guru sandaran .....(to be continue )
Mane si JuNmie ni, terkejut dengan kisah isteri dua ke. Takde solalan spot PMR ke SPM Ke PTK ke OUM ke.Kalau ada sape sape lebih kuih raya post lah kat aku. Aku dok tengah pening nak buat kad raya untuk kau orang macammana nak buat kulitnya.....kalau sempat esok aku poslah dah ada 70 orang hantar ucapan sapa yang belum tu masukkan dalam blogni lah bye,
Menjejakkan kaki di Pulau Redang.Dengan rasa penuh kesyukuran aku selamat tiba di jeti Pulau Redang buat kali kedua selepas Projek luar Pendidikan Jasmani MPPP pada 30 April Hinggan 2 mei 1992. Aku masih ingat beberapa ahli kumpulan yang menyertai ekspedisi itu seperti mas, Din Tahan, Amri, Mat Abd Rahman, Sharifah, Ruzila dan lain-lain. Berita gambar kita berekspedisi dimasukkan dalam Berita daruil Iman Keluaran bil 15, Nov/Dis 1992. Orang yang bertanggungjawab menulis berita ialah Haslina Salleh, sahabat kita. Catatannya berbunyi
"Gigitan mentari bagaikan tidak terasa oleh kebiruan air laut yang mempesonakan. burung-burung camar riang melayang seperti bertemasya di dunianya menikmati juadah enak di perut laut. angin menderu lembut dan ombak merangkak perlahan menyapai pasir putih. Itulah Telok kalong yang terletak di tenggara Pulau redang lebih kurang lima puluh km dari Kuala Terengganu. selain daripada keindahan semulajadinya yang memukau pandangan kedudukannya yang dikelilingi oleh beberapa buah pulau amat sesuai untuk mengadakan berbagai-bagai aktiviti air seperti berkeno, berenang, snorkelling dan lain-lain lagi. Puas bermain air bagi mereka yang suka trekking bolehlah meredah hutan yang masih terpelihara keasliannya di pulau redang. Meskipun bukit di situ tidak berapa tinggi tetepi awas, keadaannya curam dan berbatu batan longgar , itulah adalah cabaran sebenarnya. Semasa trekking anda pasti kagum melihat batu-batu besar bermacam-macam bentuk dan unik pula kedudukannya.Sesiapa yang datang ke sini pasti jatuh cinta pada ciptaan tuhan."Bersama coretan haslina ini dimasukkan gambar Kamaruddin, Ajam dan Alias sedang menyiang ikan. Mas Lanasrie, Anush , Che Hussin sedang memegang keno di gigi air membelakangi laut. Razima, Sagap, Norliah Othman, Haslina, suryati Morni dan beberapa orang lagi yang kabur gambarnya sedang berposing di tepi batu besar ....( to be continue)
Pengalaman yang mencemaskan.2 Disember 1992 Selasa, Kami bangun dan solat subuh berjemaah di surau Kuala Besut.Bersarapan di warong. Lepas itu ke bangsal biasa yang menjadi kediaman kami waktu siang, kadangkala rasa ngeri juga teringat peristiwa semalam. Selepas lepak beberapa ketika kami mendapat berita yang bot akan bertolak . Kami pun bawa lah beg yang "berrende itu" ke dalam bot. Penduduk juga kelihatan sibuk memindahkan barang-barang dari jeti ke dalam bot. Ada juga nampak wajah-wajah baru yang tidak berapa familiar naik ke atas bot. Kami membantu orang-orang kampung memunggah barang-barang dan unjuk mengunjuk bila melihat cikgu yang lebih senior berbuat demikian.Setelah hampir dua jam berada di atas bot dalam keadaan bersesak-sesak bersama penduduk dan barang-barang barulah enjin bot dihidupkan. Kami pun mula memakai jaket keselamatan. Seorang kakak sempat berkata "kalau terjadi apa-apa kita berpaut pada cikgu sebab cikgu pakai pelampung". Penduduk Pulau Redang tidak memakai jaket keselamatan dan memang tidak ada pun di dalam bot.perjalanan kami bermula jam 12.30 tengahari. Walaupun tengahari kami basah kerana hujan turun sekali-sekala dan angin juga bertiup kencang. Cabaran pertama bermula apabila tiba-tiba bot berhenti di muara sungai, dalam sekelip mata sahaja bahagian hadapan bot terangkat tinggi dan terhempas dengan bunyi mengerunkan. Kebanyakan penumpang bot pucat lesi dan tidak berkata apa-apa. Terasa bagai tercabut jantung. Selepas itu bot bergerak sedikit ke hadapan kemudian berhenti lagi. sekali lagi peristiwa yang sama berlaku. Bot bergerak lagi dan kami dihempas ombak lagi tetapi kali ini agak perlahan . " ombak tiga beradik" itulah yang dimaklumkan oleh orang Pulau Redang.Selepas itu perjalanan bot agak stabil tetapi masin terumbang ambing kerana ombak agak kuat atau dalam istilah orang Pulau redang disebut "kkucah". selepas itu aku melihat beberapa orang yang ramainya kaum perempuan mulai muntah. seorang sahabat aku dari Kelantan juga dah pening. Lepas tu baring, tak lama selepas itu aku tengok seorang gadis tidur sebelahnya, terkejut ada, jelous pun ada, gelihati pun ada apabila melihat keadaan penumpang bot yang lain bergelimpangan, lelaki, perempuan, kecil dan besar berselerakan di celah barang-barang.sekali sekala terdengar bunyi uwek.....uwek. Alhamdulillah aku sampai ke destinasi tanpa mabuk dan muntah tetapi bila naik di atas jeti berjalan bagaikan angkasawan ..........( to be continue)
Peristiwa di Kuala Besut. 1 Disember 1992 hari ISNIN. Kami berkumpul di stesen teksi Kuala Terengganu lebih kurang jam 8.00 pagi dengan beg "
berrende"Setelah semua berkumpul kami bertolak ke kuala Besut dengan menyewa tiga buah teksi.Wakaf (pondok) yang aku sebut semalam juga menjadi port kami berteduh daripada hujan musim tengkujuh. Angin masih lagi kencang bertiup. Aktivti kami hanyalah berbual-bual, makan , sembahyang , makan lagi , lepak , baca surat khabar, beberapa kali di arah angkat beg ke atas bot, lepas tu angkat semula ke atas jeti. Rasa boring pun dah ada, rimas, tak mandi dan ada yang dah mengeluh.Kadang-kadang kami jling-jeling anak dara orang yang lalu sambil senyum-senyum dan angguk-angguk. Begitulah yang terjadi sehinggalah ke waktu maghrib.Ada juga orang-orang pulau Redang yang usik-usik kami cikgu baru.Suasana di sekitar jeti nampak meriah, macam ada pasar minggu. Kebanyakan porang pulau redang yang perempuan menjadikan bot sebagai hotel mereka. Kami kerap mendengar perkataan "dua jam lagi","satu jam lagi " "tunggu barang Pak Mat", "Tunggu angin reda", "Tunggu air pasang" dan bermacam macam jawapan lagi tentang waktu bot akan bertolak. Sehingga pada waktu maghrib ada yang berkata bot akan bertolak pada waktu dinihari esok. Mujur jugalah pada masa itu duit simpanan koperasi sewaktu di MPPP dulu masih ada. Aku pula dah semakin ramai kenalan dengan penduduk pulau Redang. Selepas solat isyak kami masih menjadikan pondok itu sebagai rumahtangga kami. Malam itu hujan turun renyai-renyai dan keadaan agak gelap dan samar-samar di terangi lampu jalan yang terletak agak jauh dari pondok itu.Aku "berselimut telanjang" walaupun memakai baju dan seluar untuk menahan kesejukan. Sedang kami berbual-bual datang seorang "abang" yang mencadangkan agar kami tidur di surau bagi memberikan keselesaan dan keselamatan barang-barang kami. Pada mulanya kami enggan kerana waktu masih awal lagi. Lagipun bimbang kami akan ketinggalan jika bot bertolak pada malam itu. Setelah di desak akhirnya kami berpindah ke surau yang terletak 200 meter dari jeti. Kawan-kawan aku mula mengangkat beg masing-masing , aku melipat kain pelikat dan menjadi orang orang terakhir meninggalkan pondok itu. Belum sempat aku melangkah tiba-tibapondok itu diserbu oleh berpuluh-puluh orang remaja dan orang tua ,"abang" yang baik hati tadi mengagih-agihkan sesuatu kepada orang-orang itu dan berlaku pula pembayaran. beberapa perkataan yang aku sempat dengar ialah "power" "sayur" "celur dah ke" . Rupanya pondok itu menjadi pusat operasi abang tersebut .Apa yang di jual oleh "abang" tersebut fikir-fikirlah sendiri. Aku juga terfikir kalau pada malam itu kalau diserbu polis alamatnya tidur dalam lokaplah dulu apa-apa cerita pun. Malam itu kami tidur dengan amannya di surau Kuala Besut dengan amannya.....(to be continue )
Perjalanan Yang Kecundang. Sebaik tiba di Kuala Besut kami pun membawa barang-barang masing-masing.Oleh kerana baru posting dan terpaksa memulakan penghidupan baru ditempat terasing maka boleh dikatakan masing-masing membawa barang agak banyak. Kecuali aku cuma membawa sebuah beg besar dan satu beg kecil sahaja. Setiap kami juga dibekalkan life jaket yang dibawa bersama selak dalam bas lagi. Jadi bertambahlah item yang patut kami bawa "
berrende"kata orang Terengganu. Kami berkumpul di sebuah wakaf ( bangsal tanpa dinding ) di tepi jeti Kuala Besut. Guru Besar di lihat berunding dengan beberapa orang yang berada di situ. Kami bergilir-gilir menjaga beg sementara kawan-kawan yang lain pergi makan ataupun bersolat.Selepas beberapa ketika Guru Besar mengarahkan kami menaiki bot yang dipenuhi oleh orang tua,orang muda, kanak-kanak, lelaki dan perempuan. Daripada perbualan dengan penghuni bot itu dapat diketahui bahawa terdapat tiga buah bot yang akan bertolak ke Pulau Redang. Bot tersebut datang (
masuk dalam istilah orang Pulau Redang )untuk menghantar anak-anak mereka yang bersekolah menengah di tanah besar serta membeli barang keperluan anak-anak sekolah rendah di Pulau Redang. Di situlah juga bermulanya interaksi kami dengan orang-orang Pulau Redang. Pada pandangan aku orang Pulau Redang adalah orang yang mudah mesra.Keadaan air di muara sungai dan alun yang ada memang tidak selesa di atas bot itu. Setelah beberapa ketika Guru Besar mengarahkan kami naik semula ke darat bersama beg yang
'berrende' dan menaiki bas yang masih menunggu di situ. Katanya bot tidak akan bertolak (
tubik dalam istilah orang Pulau Redang ) kerana angin terlalu kencang.Kami bertolak balik ke Kuala Terengganu dan sampai ketika hampir malam. Aku balik bermalam di rumah manakala kawan-kawan yang datang dari negeri lain menginap di rumah Guru besar. Esok 1 Disember 1992 hari Isnin sepatutnya sekolah di buka tetapi kami seramai 12 orang masih lagi berada di tanah besar. Bagaimanalah nasib anak anak didik kami ??? .
Perjalanan Yang Kecundang.Walaupun aku lupa tarikh terima surat tetapi aku masih menyimpan surat tersebut. Aku di arah melapor diri di PPD Kuala Terengganu pada hari Ahad 30 November 1992. Pada hari berbahagia itu pergilah aku ke PPD Kuala Terenganu dengan dihantar oleh abang ipar aku. Di sana aku berjumpa dengan Pak Ya, kawan kita dari unit D, kelegaan ku dah semakin melebar bila ada geng semaktab dan geng se PGPI pulak tu. Aku mendapat tahu bahawa seramai 7 orang termasuk aku akan di posting ke pulau redang. Nama-nama mereka ialah Mat Sabri,Zakaria Mohamad, Mohamad Ismail dari Terengganu, Firdaus dari Johor,Hashim dari Pulau Pinang, Yusri dan Norman dari kelantan. Kenal ke ??? Cikgu mohamad Ismail Sekarang Mengajar bersama cikgu Azmi Ali di SK Durian Mas manir.Sewaktu memperkenalkan diri pada sesi taklimat aku dengan bangganya menyatakan bahawa aku sungguh bertuah di postingkan di Pulau Redang dan disambut dengan gelak ketawa oleh guru-guru yang melapor diri pada hari itu . Perli lah tu !!!(semua guru baru posting daerah kuala terengganu lebih kurang 40 orang berkumpul di situ pada hari itu). Selesai taklimat, bas yang di pohon oleh guru besar sk pulau redang dengan jabatan pendidikan sedia menunggu. Bas yang kami akan naiki bersama beberapa orang lagi ialah bas kecil (coastal)sekolah kanak-kanak cacat pendengaran. Kami seramai 12 orang , selain 7 orang tadi, Guru Besar, cikgu jalil, cikgu Ramzan, Cikgu Zainuddin dan Ustaz Zulkifli waktu itu ustaz sandaran bertolak ke Kuala Besut lebih kurang 90 KM dari Kuala Terengganu. Kami terpaksa ke Kuala Besut kerana pada musim tengkujuh (nov hingga jan) biasanya bot tidak boleh berlabuh melalui kuala terengganu dan juga merang. Walaupun berdebar-debar tetapi perjalanan kami lebih mirip kepada "joy ride" penuh dengan gurau senda dan usik mengusik. Tambahan pula kami melalui jalan pantai yang menyusuri laut cina selatan yang agak rakus dengan gelora serta angin dann hujan. Ada juga rasa kesyahduan meninggalkan orang tua di rumah.Kami tiba di Kuala Besut lebih kurang pukul satu tengahari. Bot telah tersedia di Kuala Besut tetapi.............( to be continue )
PengenalanInsyaAllah mulai hari ini aku akan menulis kisah aku sebagai che' gu, rasanya patut juga aku menulis di sini sebagai perkongsian sesama kita, kalau sudi baca, kalau tak sudi tinggalkan.Kalau rasa tertarik mohon orang lain pula tulislah pengalaman sendiri pula ya. Satu hari yang aku dah lupa tarikhnya tapi dalam bulan November 1992 aku menerima surat posting ke SK Pulau Redang. Aku berasa sungguh gembira tetapi tidak bagi ayahku, kakakku dan beberapa orang jiranku. Aku gembira kerana aku dah sampai ke Pulau Redang sewaktu kita buat Projek Luar dahulu dan akan menjerumuskan diri ke dalam masyarakat yang sungguh unik (bagi aku lah. Aku juga teringat sewaktu sekolah rendah dulu aku pernah berangan-angan akan sampai ke pulau itu ( masa tu aku tak tahu lagi apa nama pulau tu ) sewaktu aku bermandi manda di pantai Batu Rakit. Bagi pihak ayah dan kakak ku pula mereka bimbang dan khuatir kerana daripada khabar yang diterima orang pulau redang ganas dan suka mengamalkan ilmu hitam, suka bergaduh dan banyak lagi perkara negatif. Aku di arahkan melapor diri di PPD (Pejabat Pelalajaran Daerah) kuala Terengganu pada 30 Disember 1992. Tetapi sebelum itu guru Besar SK Pulau Redang pada masa itu Cikgu Mohamad Awang dan seorang guru lagi telah datang terlebih dahulu ke rumah aku untuk berkenalan. Kesungguhan guru besar tersebut aku sangat hargai sekurangnya-kurangnya ia mengurangkan kekhuatiran aku bagaimana aku nak berlayar ke Pulau Redang nanti .... (to be continue)