Jenazah Mariam hampir dibakar
Oleh Siti Nurbaiyah Nadzmi
nurbaiyah@nst.com.my
KUALA LUMPUR: Jenazah Mariam Johari, 88, hampir dibakar semalam, sebelum dibawa balik ke New Best Hospital bagi membolehkan jenazah warga emas itu dihantar pulang selepas mendapat pengesahan dan jaminan kerajaan untuk dikebumikan di Malaysia, Rabu depan.
Mariam yang meninggal dunia di Seoul, Korea Selatan, Ahad lalu dibawa ke rumah pembakaran mayat kerana sehingga malam kelmarin, pihak yang menguruskan jenazahnya tidak mendapat lampu hijau dari pejabat Kedutaan Malaysia di Seoul.
Usaha untuk menghantar Mariam pulang menemui jalan buntu dan menjadi terawang-awang apabila anak tiri Mariam, Ji Yong Un, tidak mendapat kata putus dari pejabat kedutaan Malaysia, menyebabkan semua prosedur untuk penghantaran pulang terbantut.
Ji akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan upacara pembakaran pada jam 3 waktu tempatan (jam 2 petang waktu Malaysia) semalam, apabila sejam sebelum upacara itu berlangsung, mereka mendapat pengesahan yang dinantikan selama ini.
Ini adalah kali kedua upacara pembakaran mayat Mariam tergendala, tetapi kali ini dengan kepastian yang jenazah Mariam akan diterbangkan ke Malaysia dan dijangka dikebumikan di Kota Tinggi, Johor.
Penerbit dokumentari Korean Broadcasting System, Park Keon Young, yang berada dalam kenderaan jenazah itu, berkata berita itu melegakan banyak pihak, termasuk keluarga Mariam di Seoul, dermawan dan kumpulan yang bersimpati dengan kisah Mariam.
“Kami semua lega kerana kes ini tidak lagi terawang-awang dan akhirnya mendapat satu kepastian,” katanya yang menelefon wartawan New Straits Times, dari dalam kenderaan itu sebaik saja menerima berita pengesahan itu.
Kata Park lagi, semua prosedur untuk mengawet jenazah Mariam dan penyediaan dokumen terpaksa dihentikan semalam kerana tidak mendapat maklum balas positif dari pejabat kedutaan.
“Kami mulanya sudah tidak mengharap lagi apa-apa perkembangan dari pejabat kedutaan dan menganggap penangguhan tanpa sebab adalah suatu perbuatan yang menghina jenazah.
“Malam tadi kami telah membuat keputusan untuk meneruskan upacara pada petang ini,” katanya.
Park berkata, jenazah Mariam akan ditempatkan di hospital sama untuk proses pengawetan sebelum penerbangan pulang ke Malaysia.
Semua prosedur penghantaran pulang akan diuruskan antara pejabat kedutaan dan pejabat Menteri Luar Korea.
“Kami berharap selepas ini semua urusan akan dilaksanakan dengan segera tanpa halangan lagi,” katanya.
Kali pertama majlis dihentikan adalah pada Selasa lalu apabila seorang selebriti Malaysia menawarkan diri untuk menanggung kos penghantaran pulang jenazah Mariam ke Malaysia setelah wanita itu meninggal dunia di sebuah rumah penjagaan orang tua di Seoul.
Malangnya Wisma Putra mengeluarkan kenyataan bahawa Mariam telah melucutkan kewarganegaraan Malaysia pada hujung 2007 sekali gus menggugurkan kuasa organisasi itu untuk membawa pulang jenazahnya.
Sejurus selepas kenyataan itu dibuat, sekumpulan dermawan Korea pula mengaturkan usaha untuk membawa pulang Mariam tetapi turut menemui jalan buntu apabila pihak kedutaan tidak memberi maklum balas yang positif.
JUMPA SAUDARA RONI DI KEDAH
12 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan