Mariam uzur, kekal di Korea
Berita Harian Online ~ 21 Julai 2007
Pertemuan kedua antara Mariam dan anak-anaknya di rumah Ji Yong Un di Ueijong-bu, di pinggir bandaraya Seoul
"MALAM tadi, saya dan Jelani tidur di sisi emak dan memeluknya hingga ke pagi. Saya amat gembira campur terharu. Saya sudah lama menanti saat manis ini," kata Ramlah Sonni, 72, yang pertama kali bertemu ibunya, Mariam Johari di sini selepas terpisah kira-kira 64 tahun.
Beliau dan adiknya, Jelani, 70, seperti dua kanak-kanak yang dahagakan pelukan dan kasih sayang ibu, menginap bersama Mariam di rumah rehat tradisional Korea Selatan, Seoul Guest House di sini, malam kelmarin.
Ketika bersama Mariam, beliau sempat membisikkan mengenai harapan ibunya itu dapat kembali ke kampung halaman di Johor.
"Seperti anak kecil, saya membisikkan kepada emak perasaan sayang dan rindu. Malah, saya mengajaknya pulang ke rumah kami di Kota Tinggi dan bertemu Jamnah. Emak kemudian mengangguk senyum," kata Ramlah kepada wartawan di sini semalam.
Beliau juga tidak dapat menahan air mata kerana mengetahui Mariam tidak dapat pulang ke Malaysia berikutan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.
Ramlah juga tidak segan mengaku sudah lama dahagakan belaian ibu dan pertemuan singkat itu amat bermakna bagi dirinya sebelum pulang ke Malaysia 23 Julai ini.
Ibunya dilarikan tentera Jepun ketika beliau berusia lapan tahun dan sejak itu tidak pernah menemui Mariam.
Sementara itu, Jelani berkata, sejak kecil hingga menjangkau usia remaja, beliau sering bermimpi akan berjumpa ibunya.
"Pernah saya luahkan keinginan itu kepada isteri saya, Suriah (Anwar). Mungkin agak pelik bunyinya, tetapi itulah impian saya sejak kecil lagi kerana selama ini Ramlah yang mengambil tugas emak. Syukur Alhamdulillah, doa saya dimakbulkan Tuhan," katanya.
Mariam yang berada di sisi Ramlah dan Jelani kelihatan lebih ceria selepas bersama dua anak kandungnya itu.
Katanya, beliau agak terkilan Jamnah tidak dapat bersama.
"Jika boleh, saya mahu semua anak-anak tinggal di Korea bersama saya dan keluarga Ji, (Yong Un). Kami boleh meluangkan masa bersama setiap hari. Bagaimanapun, mereka akan pulang beberapa hari lagi," katanya yang masih mampu mengukir senyuman.
Perbualan Mariam dengan dua anaknya diterjemahkan pelajar Malaysia di Korea Selatan, Umar Fakhrin.
Sebelum itu, Mariam bersama Ramlah, Jelani, anak Ramlah, Ahmad Onn, Suriah, menantu Jamnah, Siti Zainab Noor, Ji serta isterinya, Shin Sook Hyun menyaksikan tayangan dokumentari Love In Asia, The Way Home terbitan Korea Broadcasting System (KBS), di rumah Ji, di bandar Uijongbu, di sini.
Ramlah dan Jelani menjadi tetamu rancangan itu kelmarin. Ramlah, Mariam dan Jelani menitiskan air mata ketika menyaksikan segmen apabila mereka dipertemukan KBS dalam program itu.
JUMPA SAUDARA RONI DI KEDAH
12 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan