Stesen KBS terharu kisah Mariam
Posted on Jun 28, 2007 by pemudawilayah
Oleh Azida Shaharuddin
JOHOR BAHRU: “Kasih seorang ibu terhadap anak-anaknya tidak pernah pudar. Walaupun selepas 64 tahun meninggalkan anak-anaknya, Mariam (Johari) tidak dapat melupakan mereka.” Kasih sayang Mariam itu menjadi pendorong Produser Korea Broadcasting System (KBS), Park Keon Young mengikuti liku hidup wanita Melayu kelahiran Plentong, Johor itu.
Park yang pernah memenangi dua anugerah penyiaran, berkata kisah hidup Mariam yang dipanggil Halmoney (bermaksud nenek) lebih menusuk jiwanya berbanding kisah hidup warga asing yang pernah dimuatkan dalam siri dokumentari Cinta di Asia yang diterbitkan sebelum ini.
“Lebih menyedihkan, nenek masih ingat janji kepada anak bongsunya, Jamnah untuk membeli biskut untuknya apabila pulang dari Korea. Hingga kini, beliau terkilan ia (janji) tidak dapat dipenuhi.
“Saya juga mempunyai ibu dan ketika meletakkan diri sebagai seorang anak, sedih mengenangkan tidak dapat merasa belaian kasih seorang ibu ketika kecil,” katanya di sini semalam.
Perjalanan hidup Mariam yang terperangkap di Korea Selatan selama 61 tahun dan keinginan Park menemukan wanita itu dengan keluarga yang terpisah sejak 1943, di Malaysia, membuatkan produser berusia 38 tahun itu tidak tidur malam.
Beliau yang mengetahui kesengsaraan Mariam daripada seorang sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, menemui wanita itu kira-kira dua bulan lalu di Seoul.
Park berkata, keputusan menerbitkan dokumentari itu bagi mengenang jasa Mariam yang banyak membantu masyarakat Korea terutama ketika menjaga isteri majikannya yang mengidap barah serta tiga anak mereka yang masih kecil pada 1954.
“Sebelum isteri majikannya meninggal dunia, beliau mewasiatkan Mariam berkahwin dengan suaminya. Ketika itu, Mariam menjadi serba salah kerana sudah mengumpul wang untuk kembali ke Malaysia.
“Bagaimanapun, selepas mendengar rayuan anak tirinya, Ji Yong Un yang ketika itu berusia tujuh tahun, Mariam berkorban untuk menjaga Yong Un hingga anak tirinya berumah tangga.
“Apa yang saya lakukan (membantu Mariam) sangat kecil berbanding pengorbanannya yang tidak boleh dibayar dengan wang,” katanya yang menitiskan air mata apabila mengenangkan kesusahan yang dilalui wanita Melayu itu.
Park juga menemuramah semua pihak yang mengenali Mariam di Korea Selatan bagi mengetahui perjalanan hidup wanita itu.
“Nenek pernah tinggal di satu perkampungan kecil kira-kira 300 kilometer dari Selatan Seoul. Di Korea, rakyat kami terutama di kawasan perkampungan tidak menyukai warga asing dan melihat mereka seperti ‘makhluk asing’.
“Namun Mariam seorang wanita yang istimewa kerana di kampung itu, beliau diterima dan disukai ramai kerana ciri diri yang lembut, peramah, penyayang dan pandai mengambil hati. Malah, ke mana saja termasuk ketika tiba di Seoul untuk bekerja sebagai pengasuh, beliau berjaya menawan hati ramai orang termasuk majikannya,” katanya.
Semua ini, katanya, mendorong beliau membantu Mariam mencari keluarganya di Plentong, di sini untuk mencari keluarga Mariam serta merakamkan bukti diperlukan kerajaan Korea Selatan dan Malaysia untuk mengesahkan kewarganegaraan wanita itu.
Siri dokumentari The Way Home yang mencatatkan perjalanan hidup Mariam akan disiarkan 19 Julai ini.
Sumber :
JUMPA SAUDARA RONI DI KEDAH
12 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan