Dermawan Korea biaya penerbangan
Oleh Siti Nurbaiyah Nadzmi
nurbaiyah@nst.com.my
Urus bawa pulang jenazah Mariam
KUALA LUMPUR: Usaha membawa pulang jenazah Mariam Johari masih belum berakhir apabila beberapa dermawan Korea bersetuju meneruskan urusan peng-hantaran pulang warga emas yang menetap di Korea Selatan lebih 64 tahun itu supaya dapat dikebumikan di Malaysia.
Selepas Wisma Putra tidak dapat membawa pulang jenazah Mariam, 88, yang meninggal dunia Sabtu lalu atas alasan wanita itu bukan lagi warga Malaysia, 10 dermawan Korea tampil untuk menanggung kos menerbangkannya pulang ke Malaysia.
Penerbit Korean Broadcasting Systems (KBS) Park Keon Young, yang menerbitkan dokumentari mengenai kehidupan Mariam berkata, mereka merasa amat tersentuh dengan kisah kehidupan wanita itu dan inginkan Mariam disemadikan di tanah tumpah darahnya.
"Kisah Mariam menyentuh perasaan kami (dermawan) dan merasakan inilah sumbangan sewajarnya untuk wanita berjiwa kental ini," kata Park yang berada di Seoul ketika dihubungi.
Kelmarin, keadaan menjadi kecoh apabila upacara pembakaran mayat Mariam terpaksa dihentikan apabila Kedutaan Malaysia di Seoul mengeluarkan kenyataan bahawa jenazah Mariam akan dibawa pulang.
Bagaimanapun setelah menunggu berjam-jam ternyata kedutaan Malaysia menarik balik keputusan untuk membawa pulang Mariam atas alasan wanita itu telahpun melucutkan kewarganegaraannya pada hujung 2007, iaitu beberapa bulan selepas beliau pulang buat pertama kalinya ke Malaysia selepas terkandas selama 64 tahun di Korea Selatan.
Jenazah Mariam kemudiannya dialihkan ke sebuah gereja di Seoul dan upacara pengebumian ditunda pada Jumaat (11/9) jam 3 petang waktu tempatan.
Bagaimanapun seorang biarawati yang pernah menjaga Mariam, Sister Seraphina merasakan Mariam perlu disemadikan di tanah airnya sendiri menghu-bungi Park untuk membantu.
"Sister Seraphina berkata beliau akan mencari dermawan yang sudi membiayai semua kos ini dan meminta saya menghubungi keluarga Mariam di Johor," katanya.
Menurut Park, jenazah Mariam akan dihantar ke Suwon University (berdekatan dengan Seoul) hari ini sebelum dihantar pulang melalui penerbangan.
"Profesor itu yang juga kenalan kepada Sister Seraphina, memang mengikuti perkembangan Mariam dan merasa simpati dengan kemelut yang melanda keluarga Mariam."
Park menjelaskan mereka hanya menunggu kata putus dari keluarga Mariam untuk membuat urusan penghantaran.
"Keseluruhan kos pengawetan dan penghantaran mungkin menelan belanja lebih kurang AS$3,000," katanya.
JUMPA SAUDARA RONI DI KEDAH
12 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan