Pecarian Belum Selesai

Norlia Abdullah, majidin wassilin, norliha Mohd Noor,Beechee Hamisah, Asnian Ayub Daud, Mahiran Mohd, Zuraidah, norwati hussin, Latifah Diasin,Rahana Ismail, Hamizan Shaffain, Rokian Che Mamat, Rasimah Abd Momen, dan Fadzilah Mohamad
Sesiapa yang ada contact dengan penama di atas tolong maklumkan kepada blogmaster- TQ

Ahad, September 13, 2009

'Jenazah ibu dibawa pulang' Jelani

'Jenazah ibu dibawa pulang'

Oleh FARIK SALLEH
utusanjohor@utusan.com.my

KOTA TINGGI 12 Sept. - "Syukur Alhamdulillah kerana akhirnya ada juga insan yang sudi membantu membawa pulang jenazah ibu."

Demikian kata-kata Jenali Soni, 72, anak lelaki sulung Mariam Johari, 88, yang meninggal dunia di Seoul, Korea Selatan pada Ahad lalu.

Jelani berkata, tiada apa yang dapat diluahkan melainkan rasa gembira dan berterima kasih kepada mereka yang membantu.

Katanya, mereka amat berharap hasrat untuk mengebumikan jenazah Mariam secara Islam di sini menjadi kenyataan.

"Walaupun hasrat ibu hendak bersama kami hingga ke akhir hayatnya sebelum ini tidak tercapai, kami tetap bersyukur kerana masih ada pihak yang mahu dan sudi menghulurkan bantuan untuk membawa pulang jenazah ibu," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di rumahnya di Taman Kota Jaya di sini hari ini.

Hari ini sebuah akhbar melaporkan jenazah Mariam di Seoul, Korea Selatan hampir dibakar berikutan tidak mendapat pengesahan dan jaminan bagi membolehkan jenazah itu dihantar pulang untuk dikebumikan di Malaysia.

Usaha untuk membawa pulang jenazah Mariam sebelum ini menemui jalan buntu apabila anak tiri Mariam, Ji Yong Un, tidak mendapat kata putus daripada pejabat Kedutaan Malaysia, menyebabkan semua prosedur untuk penghantaran pulang terbantut.

Bagaimanapun, kebuntuan membawa pulang jenazah Allahyarham itu berakhir apabila semua prosedur penghantaran pulang dijamin akan diurus antara pejabat Kedutaan Malaysia dan pejabat Menteri Luar Korea.

Difahamkan jenazah Mariam akan dibawa pulang dari Korea Selatan dan akan dikebumikan secara Islam di tanah perkuburan Islam Kampung Makam di sini Rabu depan.

Jelani memberitahu, dia berasa lega dan bersyukur kerana hasrat membawa pulang dan mengebumikan jenazah ibunya secara Islam akhirnya dimakbulkan Allah SWT.

Dia yang menerima berita kematian ibunya Ahad lalu, bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada jenazah ibunya bakal tiba Rabu depan kerana ia hanya dibaca daripada laporan akhbar.

"Apa yang penting sekarang ini, kami tiga beradik memang mahu ibu dibawa balik dan dikebumikan secara Islam di sini.

"Yang pastinya ibu masih ingat agamanya kerana semasa dia pulang ke sini dua tahun lalu, dia masih boleh mengucap dan membaca al-Fatihah walaupun tidak berapa lancar," katanya.

Menurutnya, dia turut membuat persiapan memasang khemah bagi menyambut kepulangan jenazah ibunya itu.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) mengesahkan Mariam Johari, 88, yang meninggal dunia di Seoul, Korea Selatan Ahad lalu, masih beragama Islam.

Ini berdasarkan bacaan al-Fatihah dan pengucapan kalimah syahadah yang dilafazkan Mariam di hadapan dua anaknya, Jelani, 72, dan Ramlah Soni, 73, ketika tiga beranak itu bertemu semula di Seoul pada Julai 2007.

Penyaksian kalimah syahadah itu juga dilafazkan di hadapan keluarga semasa warga emas tersebut pulang ke Malaysia pada Ogos 2007.

Tiada ulasan: