Pecarian Belum Selesai

Norlia Abdullah, majidin wassilin, norliha Mohd Noor,Beechee Hamisah, Asnian Ayub Daud, Mahiran Mohd, Zuraidah, norwati hussin, Latifah Diasin,Rahana Ismail, Hamizan Shaffain, Rokian Che Mamat, Rasimah Abd Momen, dan Fadzilah Mohamad
Sesiapa yang ada contact dengan penama di atas tolong maklumkan kepada blogmaster- TQ

Sabtu, September 12, 2009

Mariam Johari - 2007

Mariam hiba tatap gambar anak

Berita Harian Online ~ 18 Julai 2007

Belum buat keputusan pulang ke tanah air kerana kenang keluarga di Korea

KEHADIRAN tiga anak kandung yang ditinggalkan 64 tahun lalu dan seorang anak tiri yang hidup bersama selama 44 tahun, sudah tentu menjadikan Mariam Johari seorang ibu yang paling gembira ketika ini kerana mempunyai empat anak yang sentiasa menyayanginya.

Beliau yang berpisah dengan ketiga-tiga anak kandung kerana mengikut teman lelaki, Cho Se Won ke Korea kira-kira 61 tahun lalu, kini boleh bergembira kerana anak-anaknya, Ramlah Sonni, 72; Jelani, 70 dan Jamnah, 65, masih hidup dan merindui ibu mereka yang selama ini disangka sudah meninggal dunia.

Sejak menjejakkan kaki di bumi Korea pada 1946, selain hidup bersama Cho, Mariam berkahwin dengan bapa kepada anak tirinya, Ji Yong Un, 51, dan menjaga Ji sejak berusia tujuh tahun seperti anak kandung sehinggalah anak tirinya berumah tangga.

"Saya menghabiskan lebih separuh hayat menetap di Korea sejak meninggalkan tanah air pada 1946 sebagai isteri kepada Cho dan amah kepada beberapa majikan dan seterusnya ibu kepada Ji. Saya anggap Ji anak kandung saya. Ji banyak menjaga saya, seperti mana saya menjaganya dulu sejak beliau berusia tujuh tahun.

"Pada masa sama, Ramlah, Jelani, Jamnah juga adalah anak-anak saya. Saya juga sayangkan mereka, lebih-lebih lagi selepas tidak berjumpa sekian lama," kata Mariam dalam bahasa Korea yang diterjemah pelajar Malaysia di Korea Selatan, Yen Mun Wah ketika ditemui di Hospital Perbandaran Dong-Bu, Seoul, di sini, semalam.

Mariam juga berkata, kini beliau menjadi serba salah memikirkan keadaan itu dan berdoa semuanya berjalan dengan baik jika diizinkan beliau bertemu semula dengan ketiga-tiga anaknya.

Katanya, Ji tumpang gembira mengenai berita baik penemuan ketiga-tiga anaknya yang masih sihat dan menetap di Kota Tinggi namun beliau dapat menyelami perasaan serta memahami jiwa anak tirinya itu.

"Saya tahu Ji tentu sedih jika saya pulang ke Malaysia. Riak wajahnya apabila saya sebut nama Ramlah, Jelani dan Jamnah sudah cukup menggambarkan kepiluan hatinya," katanya dengan nada sebak.

Mariam berkata, Ji sebelum ini kurang mengetahui mengenai latar belakangnya, namun selepas berjumpa dengan produser televisyen Korea Broadcasting System (KBS), Park Keon Young, anak tirinya itu kini difahamkan mendapat banyak maklumat kehidupan lampaunya.

"Ketika ke rumah lama saya bersama keluarga Cho di pekan Hampyong, wilayah Jeonnanamdo minggu lalu, Ji kelihatan lain sedikit, lebih banyak mendiamkan diri selepas berkenalan dengan keluarga Cho di sana dan melihat pusara Cho. Sebelum ini, saya merahsiakan kisah hidup bersama Cho kerana memikirkan perkara lama tidak perlu difikirkan kembali terutama pengalaman sedih membawa diri ke Seoul apabila Cho berkahwin lain.

"Saya juga sangkakan anak-anak di Malaysia sudah tiada akibat Perang Dunia Kedua pada tahun 40-an itu," katanya.

Mariam berkata, ketika ini beliau masih belum membuat keputusan untuk mengikut anak-anaknya kembali ke Malaysia kerana beliau juga berasa berat hati ingin meninggalkan Ji serta cucu tirinya yang sudah menjadi sebahagian daripada keluarganya.

"Biarlah masa, keadaan dan kesihatan saya menentukan sama ada saya akan kembali ke Malaysia atau tidak," katanya yang masih tidak tahu akan dipertemukan dengan ketiga-tiga anaknya hari ini di Studio KBS pada jam 3 petang waktu tempatan.

Ketika sedang rancak berbual dengan wartawan Berita Harian, Harian Metro dan New Straits Times (NST), Mariam terkejut dan gembira apabila ditunjukkan gambar terbaru ketiga-tiga anak kandungnya.

Sejurus menatap gambar anak-anaknya, beliau terus menyebut setiap nama mereka berkali-kali 'Jelani, Ramlah, Jamnah' dengan nada sebak yang ada kalanya terimbas riak gembira.

"Mereka kelihatan tua," katanya dengan wajah menguntum senyuman sepanjang masa menatap gambar itu.

Tiada ulasan: