Pecarian Belum Selesai

Norlia Abdullah, majidin wassilin, norliha Mohd Noor,Beechee Hamisah, Asnian Ayub Daud, Mahiran Mohd, Zuraidah, norwati hussin, Latifah Diasin,Rahana Ismail, Hamizan Shaffain, Rokian Che Mamat, Rasimah Abd Momen, dan Fadzilah Mohamad
Sesiapa yang ada contact dengan penama di atas tolong maklumkan kepada blogmaster- TQ

Isnin, Ogos 31, 2009

Aku Seorang Che'gu Part 18

Anak-anak Redang. Nun sayup-sayup di tengah lautan terdapat sebuah kehidupan, kehidupan yang mempunyai mimpi yang indah tapi entah bila menjadi kenyataan. Sebagai insan-insan kerdil yang lahir di kawasan yang sedikit terasing dari arus pembangunan perdana anak-anak Redang juga ingin mengorak langkah seiring dengan rakan-rakan lain yang berada di tanah besar. Cuma persekitaran mereka sedikit sebanyak menjadi batu penghalang juga.
Dunia mereka selain dipisahkan dengan Laut Cina Selatan dengan orang lain mereka di sempitkan lagi dengan rumah-rumah yang kecil di atas air.Kita dapat bayangkan betapa sukarnya mereka hidup dengan rumah yang mempunyai dua bilik berbanding adik beradik yang biasanya ramai. Dan halaman rumah mereka ialah jeti berukuran lapan kaki lebar. Mereka tidak kisah samada memakai selipar atau tidak kerana sememangnya kehidupan mereka di atas rumah atau di atas jeti papan. Setiap kali apabila turun ke jeti kecuali selepas 12.00 malam pasti akan berjumpa dengan anak murid dengan aktiviti mereka, bermain, bersembang, memancing, menangis dan sebagainya. Begitu juga ada sesetengahnya tidak berapa suka memakai baju.
Cara mereka dididik juga agak "kasar dan rakus". Kita sering mendengar anak-anak ini disumpah seranah oleh ibu atau bapa mereka. Ingin dijelaskan di sini bahawa apa yang dicatat di sini adalah sebahagian bukan keseluruhannya. Suasana pendidikan di rumah yang sebegini sebenarnya memberi ruang dan peluang kepada guru-guru untuk mendekati murid-murid di sini. Murid-murid di sini menjadi cepat mesra dengan guru-guru dan ada juga yang menjadikan guru tempat bermanja. Terdapat guru-guru yang selalu membawa pulang muridnya ke tanah besar apabila pulang bercuti termasuklah aku.
Apabila memasuki sekolah menengah mereka terpaksa keluar dari pulau ini dan tinggal di asrama. Mereka akan menghadapi dunia baru dengan persekitaran yang agak berbeza. Ramai di kalangan murid-murid Pulau Redang tidak mampu menghadapi situasi ini menyebabkan mereka berhenti sekolah lebih awal. Biasanya bermula daripada awal tingkatan satu hinggalah sampai tingkatan tiga mereka akan berhenti sekolah. Kadang-kadang kita tidak menjangka seorang murid yang begitu pintar sewaktu di sekolah rendah Pulau Redang berhenti juga sebelum mengambil peperiksaan PMR. Mereka berhenti sekolah secara sukarela atau diberhentikan sebab masalah disiplin.
Segelintir yang meneruskan persekolah di peringkat sekolah menengah pula mampu menapak lebih jauh seiring denga pelajar-pelajar lain. Kini ada di kalangan mereka yang telah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara termasuk ke USA dan ada juga yang berjaya menjawat jawatan awam seperti guru, jururawat, polis dan sebagainya. Ada juga bekas anak murid yang dulunya nampak begitu dhaif dan kerdil tetapi sekarang berjaya menjadi ahli perniagaan dan bertapak di Kuala Lumpur. Baru-baru ini aku mendapat berit seorang murid bekas muridku berkahwin dengan anak seorang pelakon dan mendapat liputan di akhbar tempatan. ( To be continue )

Tiada ulasan: