Pecarian Belum Selesai

Norlia Abdullah, majidin wassilin, norliha Mohd Noor,Beechee Hamisah, Asnian Ayub Daud, Mahiran Mohd, Zuraidah, norwati hussin, Latifah Diasin,Rahana Ismail, Hamizan Shaffain, Rokian Che Mamat, Rasimah Abd Momen, dan Fadzilah Mohamad
Sesiapa yang ada contact dengan penama di atas tolong maklumkan kepada blogmaster- TQ

Selasa, Ogos 12, 2008

Guru Oh Guru

Buat sahabatku yang senantiasa dalam kenangan, kutitipkan sajak nukilan Usman Awang untuk tatapan kalian sebagai pendorong semangat juang mendidik anak watan ke mercu gemilang. Walau di mana menabur bakti, jasa dicurah tetap diingati, usah berkeluh kesah dengan tugas yang membebani, kerana kemuliaan tugas kita dasari, memberkati rezeki yang kita kecapi di bawah lindungan restu Ilahi. Bacalah dengan hatimu...

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan didulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979
...che tun

Tiada ulasan: